Tuesday, 5 July 2011

MITOS HANTU DIKALANGAN MASYARAKAT BAJAU

Mitos Hantu Dikalangan Masyarakat Bajau.

Masyarakat Bajau di Sabah kebanyakannya menginap di pesisiran pantai. Seperti masyarakat Melayu lain, masyarakat Bajau menjadi nelayan dan bertani. Masyarakat Bajau yang asalnya berfahaman animisme, kini banyak memeluk agama Islam. Namun demikian, beberapa adat, budaya dan kepercayaan masih dipegang kuat dan masih diamalkan turun temurun.
Bangsa Bajau memang sudah lama memeluk agama Islam. Tetapi dulu kami memang tidak mengerti apa itu syirik. Sebap itulah ramai orang yang ‘pandai berJin’ dikalangan bangsa bajau. Tujuannya untuk menolong mengubat orang yang sakit. Tambahan pula dulu mana ada klinik atau houspital, hanya orang ‘pandai’ sahaja tempat orang kampung meminta pertolongan teruramanya dalam hal-hala kesihatan ataupun perlindungan daripada kuasa jahat. Orang bajau sangat percaya kepada benda-benda gahib lebih-lebih lagi dengan hantu atau mangat ”. En. Sanip Bin Asun: Ketua Kampung Kota Ayangan Keningau:05.03.2010.
Temu bual  bersama En. Sanip Bin Asun, Ketua kampung Kota Ayangan Keningau telah menjelaskan secara terperinci bagaimana takrifan atau pandangan masyarakat bajau dahulu terhadap metos hantu. Walaupun bangsa bajau ketika itu telah beragama Islam namun, kepercayaan terhadap hantu, jin dan syaitan amat mendalam. Apa yang ingin diperjelaskan bahawa masyarakat bajau yang beragama Islam dahulu kala tidak dapat membezakan dengan jelas amalan-amalan khurafat yang boleh membawa kepada amalan syirik. Kekangan kehidupan, ancaman penyakit serta  keselamatan memaksa bangsa bajau mengambil iniseatif untuk melindungi diri, kaum keluarga serta masyarakatnya. Sebab itulah wujudnya golongan ‘pandai’ (seseorang yang mempunyai kelebihan lain yang dikaitkan dengan kuasa gahib, jin dan ilmu kebatinan (sihir/hitam).
Secara kasarnya, keajian ini mengkelasifikasikan mitos hantu dalam masyarakat bajau ini dibahagikan kepada tiga bahagian;

(Metos Hantu Yang Dituntut atau Yang Diwarisi)
Gimbaran.
Secara kasarnya ‘Gimbaran’ bolehlah ditafsirkan sebagai ‘kawan’ kepada pemiliknya. Dengan kata lain seorang manusia yang mempunyai ‘rakan’ daripada makhluk gahib / jin. Hanya beliau sahaja yang boleh berurusan dengan makluk tersebut, selalunya untuk meminta bantuan khususnya dalam perubatan. Kewujudan Gimbaran dalam diri seseorang selalunya diwarisi daripada keturunannya. Hampir sama keadaannya dengan ‘saka’ dalam kepercayaan masyarakat melayu.
Orang itu tidak sedar dia ada gimbaran sehingga dia bermimpi atau berlaku sesuatu yang luar biasa kepada dirinya. Selalunya gimbaran ini yang mencari tuannya bila sudah tiba masanya.” Pn. Oyog Binti Sandili: Kg.Taritipan Kota Marudu Kudat:29.02.2010
Seseorang yang mempunyai ‘Gimbaran’ selalunya mendapat kedudukan yang penting dalam sosiologi masyarakat bajau suatu ketika dahulu. Ini disebabkan peranannya sebagai pawang atau dukun yang membantu mengubati penyakit. Ketika zaman dahulu tidak ada kemudahan perubatan moden seperti dewasa ini. Masyarakat bajau menjadikan golongan  ini tempat mendapatkan pertolongan dan amat percaya bahawa dengan bantuan ‘jin’ (gimbaran) mampu mengubati penyakit, melindungi atau melawan kusa-kuasa jahat yang lain daripada menganggu mereka.
Gimbaran ini selalunya dikaitkan dangan amalan ‘Berasi’ atau  ‘mengalai’, satu amalan masyarakat Bajau yang berkaitan dengan sistem perubatan menggunakan bantuan jin atau kuasa gahib. ‘Mengalai’ atau ‘berasik’ dilakukan apabila seseorang yang sakit atau memerlukan pengubatan datang untuk minta diubati. Selalunya pemilik gimbaran ini terlebih dahulu tahu akan maksud kedatangan orang tersebut melalui ‘gimbaran’nya. Ketika melakukan ritual ‘pengubatan’ itulah, pemilik gimbaran tadi membuat perlakuan seperti menari-nari dengan mentera-mentera yang sukar difahami. Sampai tahap-tahap tertentu pemilik gimbaran yang sedang mengalai akan pengsan secara tiba-tiba. Ketika inilah pemilik gimbaran mengelurkan kata-kata samaada menyatakan jenis penyakit atau apa yang perlu dilakukan oleh pesakit. Masyarakat Bajau amat percaya ketika pemilik gimbaran berkata-kata tersebut yang berkata-kata itu adalah gimbarannya. Manakala perlakuan menari-nari tersebutlah dikenali sebagai ‘mengalai’. Pertukaran ketika dalam pengsan itu pula dikatakan  ‘berasik’.
Diceritakan juga  seseorang yang sedang ‘mengalai’ amat sedar jika terdapat sesiapa yang mentertawakannya atau tidak percayakannya walaupun tanpa memberitahu atau menunjukkan perlakuan. Dinasihatkan kepada mereka yang tidak mempercayaai ritual ini agar meninggalkan kawasan tersebut bagi mengelakkan ‘gimbaran’ marah.



Balan-Balan
Masyarakat Bajau percaya ‘balan- balan’ merupakan sejenis lembaga yang berasal daripada manusia. Menurut cerita orang tua-tua Bajau, balan-balan terjadi apabila manusia salah menuntut dan mengamalkan ilmu kebatinan. Tujuan ilmu ini adalah supaya sentiasa muda, cantik dan boleh hidup lama. Manusia yang ingin mengamalkan ilmu ini hendaklah mengamalkan jampi mantera ilmu balan-balan selama empat puluh hari empat puluh malam berturut-turut. Kemudian, badan pengamal ilmu syaitan ini akan terasa panas dan miang. Pada saat itulah, kepalanya akan tercabut dan terpisah darpada tubuh badan sambil membawa keluar segala isi tubuh dan perut. Dikatakan juga Balan-balan boleh menjangkiti  orang lain sekiranya seseorang itu termakan bekas makanan yang telah dijilat oleh pengamal ilmu balan-balan ini selalunya melalui ‘garam batu’. ( sejenis garam keras yang selalunya dimakan bersama nasi. Cara memakannya hanya dengan menjilat tepi garam untuk mendapatkan masinnya. Amat popular dikalangan masyarakat bajau suatu ketika dahulu)
Balan-balan kelihatan sama seperti hantu ‘penanggalan’ atau ‘tenggelong’ yang dikenali oleh kebanyakan orang Melayu. Namun bezanya, tidak pernah ada kisah penanggalan atau tenggelong menyerang mayat untuk mendapatkan makanan. Dikatakan juga balan-balan suka menjilat darah pada uri perempuan bersalin. Namun sekiranya balan-balan gagal mendapatkannya, balan-balan akan menyerang dan menghisap darah manusia. Sekiranya masih gagal menghisap darah manusia, balan-balan akan menyerang mayat manusia dan memakan organ dalam tubuh mayat itu, terutama hati.
Balan-balan dikatakan hanya terbang atau berjalan pada waktu malam dan bergerak bebas seperti manusia biasa pada siang hari. Dikatakan, cara untuk mengenal pasti orang yang mengamalkan ilmu balan-balan adalah dengan melihat pada matanya.  Mata balan-balan dikatakan sentiasa merah. Untuk memastikan lagi, potonglah limau nipis sambil memperhatikan matanya. Jika dia mengamalkan ilmu balan-balan, matanya akan berair.  Pengamal ilmu balan-balan juga tidak suka pada benda berduri dan tajam kerana semua itu boleh mengakibatkan isi perutnya yang terburai itu tersangkut dan luka. Justeru, di halaman rumah pengamal ilmu balan-balan ini tidak akan ada pokok yang berduri seperti pokok limau atau benda-benda tajam seperti buluh.
Berdasarkan maklumat yang diperolihi, terdapat dua bentuk balan-balan yang popular dikalangan masyarakat bajau. Bentuk pertama balan-balan yang boleh terbang dengan membawa sekali isi-isi perutnya. Dikatakan juga apabila balan-balan ini sedang terbang pada waktu malam, orang yang melihatnya akan nampak seperti sebuah cahaya berbentuk bulat yang bergerak diudara. Ini disebabkan darah yang menitis daripada isi-isi perutnya yang terburai. Dalam masyarakat melayu keadaannya hampir sama dengan sejenis hantu yang digelar ‘pelesit’.
Bentuk yang kedua ialah balan-balan yang berjalan diatas tanah sama seperti orang biasa. orang biasa yang masih hidup, akan bertukar menjadi balan-balan apabila berlaku kelahiran atau kematian. Balan-balan ini adalah dalam bentuk jasad manusia yang berjalan diwaktu malam/subuh apabila tercium bau kelahiran/kematian, untuk mencuri bayi yang baru lahir dan tali pusat masih belum dipotong, atau jasad orang yang meninggal. balan-balan mencuri jasad dengan cara menjulurkan lidahnya dari bumbung atau bawah rumah, dan menggantikan jasad itu dengan batang pisang. Jasad yang dicuri akan dilenggang dalam perahu untuk ditukar menjadi ikan (ini cerita balan-balan daripada kaum Irranun, mungkin disebabkan mereka rata-ratanya berkerja sebagai nelayan). Manakala kisah balan-balan daripada kaum Bajau dan DusunTindal akan mencuri jasad dan memakan tali perutnya.
Untuk mengetahui samada balan-balan berada berdekatan ialah dengan mendengar hilai ketawanya. Bunyi seperti kuda atau ayam tetapi nyaring. Sekiranya bunyi hilai ketawanya kuat didengar, maknanya balan-balan itu berada jauh dari tempat orang yang mendengar  tetapi sekiranya bunyinya kedengaran sayup-sayup dikejauhan  bermakna balan-balan itu berada dalam kawasan berdekatan. Balan-balan tidak tahan dan takut kepada air dan bau limau. itu lah sebabnya bila ada kelahiran atau kematian, tuan rumah akan meletakkan air di tempat tertentu dan meletakkan limau atau daun limau di bawah rumah (bagi rumah bertiang) atau disekitar jasad bayi atau mayat (bagi rumah tak bertiang), dan api di pasang disekeliling rumah.
Bagaimanapun seseorang yang memiliki ilmu balan-balan ini masih boleh diubati. Antara contoh perubatan ialah dengan meminumkan seseorang pengamal itu dengan air tembakau. Setelah itu ia dihayunkan sehingga mabuk dan termuntah. Apabila pengamal tersebut muntah, akan keluar bersama muntahnya sejenis lembaga berupa burung (burung pipit) atau anak tikus. Dipercayai sekiranya seseorang itu memuntahkan burung, bermakna ia mengamalkan ilmu balan-balan yang boleh terbang. Manakala sekiranya ia memuntahkan anak tikus bermakna ia mengamalkan ilmu balan-balan yang berjalan seperti manusia biasa.

(Metos Roh Orang mati yang bangkit dari kubur)
Mangat
Dalam bahasa Bajau, 'mangat' itu hantu, hantu itu 'mangat'. bermakna istilah 'mangat' itu adalah merujuk kepada semua jenis hantu. istilah 'mangat' ini berasal dari perkataan Melayu 'semangat' yang bermaksud roh.
Bagaimanapun ada juga yang berpendapat bahawa mangat ini adalah sejenis hantu yang bangkit dari kubur sama seperti Hantu Bangkit, namun masih sukar dinyatakan dengan jelas kerana terlalu sedikit maklumat yang diperolihi berkaitan dengan ‘mangat’.

Hantu Bangkit.
Hantu bangkit sama seperti cerita 'hantu pocong' orang Melayu. Hantu bangkit ini terjadi apabila ada orang yang beragama Islam murtad. orang Bajau percaya bahawa apabila orang murtad ini meningal dunia, dia akan bangkit dari kubur dan bertukar menjadi hantu bangkit. Hantu bangkit ini akan merayau-rayau dikawasan kampung asalnya. Itulah sebabnya kenapa orang Bajau menjaga kubur orang yang sudah mati selama 7 malam berturut-turut, selepas itu mayat dalam kubur tidak berupaya untuk muncul lagi.
Bagi masyarakat Bajau Pantai Timur ia dipanggil ‘panggua' atau ‘pangguwa'. Dalam kepercayaan (lama) orang Bajau, ia adalah hantu yang keluar dari kuburan orang yang baru meninggal. Hal ini terjadi apabila orang yang meninggal itu terlalu banyak buat dosa semasa hidupnya, terutama dosa yang berkaitan dengan nafsu-nafsi. Biasanya pangguwa' ini mula keluar sejak malam pertama jenazah dikuburkan, malahan dalam kes-kes tertentu, sebelum jenazah dikebumikan sudah anda tanda dan bayang-bayangnya. Tanda utama kehadiran ‘pangguwa' ini ialah apabila anda terhidu bau busuk, atau bau mayat. Kadang-kadang wajah panggua' ini kenampakan (nampak oleh mata kasar). Jika ini berlaku, orang yang nampak itu dikatakan ‘pawas’ atau ‘sial’. Selain daripada bau, untuk mengesan panggua' ini juga boleh dikenal pasti daripada suara ia berjalan, kononnya macam bunyi daun kelapa kering yang diheret di atas pasir. Kehadiran ’panggua' ini akan berakhir apabila kendurinya telah ditutup, biasanya pada hari ke-7, atau ke-20 atau ke-40 atau ke-100 bergantung kepada kemampuan keluarga si mati atau tahap kasih sayang mereka kepada si mati. Jika keluarganya sangat sayang kepada si mati dan mereka ada kemampuan, kenduri jenazah si mati akan ditutup pada hari ke-100. Biasanya akan ditutup (ditapus) pada hari ke-20.

(Kepercayaan Kepada Hantu Atau Penunggu Yang Menghuni Sesuatu Tempat Yang Keramat Atau Keras)
Kokok atau Soyang.
Kokok ini adalah hantu yang sering muncul pada waktu senja atau selepas hujan. Hantu kokok ini kerjanya menyesatkan atau menyembunyikan mangsanya. Dipercayai hantu ini akan menjelmakan dirinya serupa dengan seseorang yang dikenali oleh mangsanya. Dia akan mengajak mangsanya berjalan bersamanya, sudah tentu mangsa itu tidak perasan kerana wajah hantu itu akan serupa dengan wajah seseorang yang dikenalinya. Keadaan ini menyebabkan si  mangsa dengan mudah mengikut ajakannya.
Mangsa sendiri tidak sedar yang dia telah disembunyikan kerana dia berperasaan seolah-olah tiada sebarang perubahan atau perkara ganjil yang berlaku ke atasnya. Mangsa boleh melihat dan nampak orang lain termasuk orang yang mencarinya tetapi orang lain tidak nampak akan dirinya. Mangsa juga dikatakan tidak boleh bercakap.
Biasanya, mangsa tidak dibawa pergi jauh cuma dia disembunyikan daripada penglihatan orang ramai oleh hantu kokok ini. Biasanya keluarga mangsa menyedari kehilangan mangsa setelah mangsa lama tidak kelihatan, misalnya sejak dari pagi hingga ke petang atau sejak tengah hari hingga petang. Pada masa itulah keluarga mangsa berusaha mencari mangsa dan setelah dicari semua rumah jiran dan ditanyakan kepada rakan-rakannya serta diselidik tujuan mangsa mula keluar dari rumah, masa itu akan ada kalau sama ada mangsa telah disembunyikan oleh kokok atau tidak. Jika sudah disahkan mangsa telah disembunyikan oleh kokok, biasanya orang-orang tua yang pandai akan dipanggil untuk mengesan mangsa. Dengan jampi serapa yang dibaca oleh orang 'pandai' itu, mangsa boleh ditemui antara 30 minit hingga beberapa jam selepas itu. Biasanya mangsa didapati berada di sekitar tempat mencari itu dilakukan dalam keadaan duduk-duduk (rileks) tetapi sukar berbicara. Kadang-kadang badan mangsa berlumuran dengan cecair licin (luntang - ngaluntang) dan berbau hanyir. Mangsa akan dimandikan oleh orang 'pandai' itu sebelum dibawa naik ke rumah untuk dipulihkan semangatnya dan membersihkan tubuhnya.
Dalam masyarakat Bajau ia juga dipanggil Soyang. Cuma ada beza sidkit dari segi penampilan. cerita daripada orang-orang tua kononnya Soyang ni berbadan hitam dan tinggi lampai melebihi ketinggian pokok kelapa. Rupanya macam bentuk tubuh manusia tap kadang-kadang boleh bertukar rupa menjadi gajah, badak atau payau (Rusa) yang sangat besar. Kononnya, kalau kita jumpa dalam keadaannya seperti tubuh manusia, jangan mengelak atau lalu dari sebelah kiri atau kanannya kerana alamat kita kena pegang atau tampar (akan terkena sakit) tapi lalu betul-betul dicelah kedua kakinya (bawah kangkangannya) sebab kononnya dengan berbuat demikian Soyang itu rasa tidak terganggu.
Soyang ini kononnya sering keluar pada waktu senja atau maghrib dan berdiri atau menghalang di denai (lorong jalan kaki). SOYANG ni dalam kepercayaan masyarakat Bajau bukanlah sesuatu yang dipelihara atau boleh dipanggil tetapi hantu liar yang berkeliaran.

Galap
Galap merupakan hantu air yang suka menggoda para nelayan atau pemancing terutama semasa waktu maghrib hingga isyak. Jika para nelayan menangkap ikan, ikan yang ditangkap adalah luar biasa. Selalunya pancingnya selalu mengena, tidak perlu menunggu lama. Dan ada ketikanya ikan yang diperolhi agak ganjil. Contohnya kail melekat pada ekor ikan tersebut atau ikan yang diperolihi tidak cukup sifatnya.

SEJARAH RINGKAS MASYARAKAT BAJAU

Sejarah Ringkas Masyarakat Bajau
Lazimnya, apabila disebut Bajau, kita segera terbayang bahawa ia adalah suku bangsa yang mendiami kepulauan Filipina Selatan serta penduduk pribumi Sabah. Sebenarnya Bajau bukan sekadar wujud di dua wilayah tersebut. Sebaliknya bangsa Bajau adalah antara penduduk asal Nusantara, dari kepulauan Belau (PALAU) di sebelah Timur hingga ke Sumatera di sebelah Barat dan dari Gugusan Kepulauan Irian di sebelah Selatan hingga ke Kemboja dan Myanmar (Burma) di Utara.
Ada pendapat mengatakan bahawa Bajau berasal dari Johor. Ada juga yang mengatakan Bajau berasal dari Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia dan ada pula yang mengatakan etnik ini berasal dari kepulauan Maluku. Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara.
Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka (2000) mengenai asal-usul bangsa Bajau mendapati bahawa bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro yang mula bergerak dari Yunan menuju arah selatan (Asia Tenggara) pada kira-kira 1500 tahun Sebelum Masehi iaitu 3500 tahun yang lalu, yang kemudian tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik. Oleh kerana bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro, maka mereka adalah Melayu tulen.
Bangsa Bajau atau Samah dapat dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu Pala’u (Bajau Laut) dan Samah (Bajau Darat). Sehingga tahun 1950-an, Pala’u tinggal di dalam lepa yang bergerak bebas di sekitar laut Sulawesi; mereka hanya mendarat di tepian pantai atau pesisiran sama ada di jajaran pulau atau tanah besar, untuk mendapatkan keperluan seperti ubi kayu, air atau untuk membaiki lepa mereka. Mereka juga bukan penganut agama Islam. Justeru itu, terdapat di kalangan orang-orang Samah yang tidak mengakui Pala’u sebagai Bajau oleh kerana kesuluruhan Samah adalah beragama Islam.
Daripada segi bahasa dan pertuturan, bahasa Bajau mempunyai lebih daripada 20 subdialek. Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 26 subdialek bahasa Bajau. Kini masyrakat Bajau berselerak di pelbagai negara seperti Indonesia, Filipina, Malaysia, Berunai, Myanmar, Maldives dan Afrika Selatan. Malah ada pendapat mengatakan bahawa masyarakat Melayu di Madagascar (Pulau Malagasi) sebenarnya adalah dari etnik Bajau.
Mayarakat Bajau dikenali sebagai sea nomad atau sea gypsies oleh penjajah atau penulis-penulis Barat dan nama itu kekal menjadi rujukan pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini. Bagi masyarakat Bajau itu sendiri mereka menamakan bangsa mereka sebagai bangsa Samah dan daripada perkataan Samah itulah terbit nama bahasa mereka iaitu Sinamah.
Bagaimana bangsa ini mendapat namanya sebagai Bajau masih belum dapat dijelaskan dengan tepat. Kekaburan ini menyebabkan perbahasan di kalangan segelintir individu sehingga ada antara mereka yang membuat pengklasifikasian mengikut logik masing-masing, kononnya Bajau adalah yang menjadi peribumi Sabah, Badjao adalah yang mendiami gugusan kepulauan Mindanao, dan Badjoe adalah yang mendiami wilayah Indonesia. Bagaimanapun ada juga pendapat mengatakan ‘Bajau’ bermaksud ‘berjauh-jauhan’ dan inilah yang dilakukan oleh masyarakat Bajau iaitu keluar daripada kelompoknya dan berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Hakikatnya, Bajau hanyalah satu. Namun mengapa timbul pelbagai nama seperti Bajau, Badjao dan Badjoe? Kajian mendapati Ia adalah disebabkan faktor penggunaan tulisan rumi dalam Tamadun Melayu baik di Malaysia mahupun di Indonesia dan Filipina. Ketiga-tiga wilayah ini pernah dijajah oleh tiga bangsa penjajah dari Barat. Ketiga-tiga bangsa penjajah ini menggunakan huruf Rumi dalam sistem tulisan mereka. Kedatangan mereka turut memperkenalkan sistem tulisan Rumi kepada Tamadun Melayu tetapi dalam bentuk dan sistem ejaan yang berbeza-beza. Bahkan, sistem tulisan Rumi Bahasa Malaysia dan Sistem Tulisan Rumi Bahasa Indonesia hanya dapat dimantapkan pada 1970-an, tambahan Sistem Tulisan Bahasa Malaysia masih mengalami proses penambah mantapan akibat peminjaman perkataan asing khususnya dari Bahasa Inggeris. (Sumber Internet: Badan Galak Pusaka:2008)