Sepak Manggis terkenal dikawasan utara negeri Sabah khususnya dikalangan masyarakat kaum bajau yang mendiami daerah Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu. Sukan ini menjadi satu simbol budaya kepada kaum bajau kerana sukan ini menjadi satu kemestian apabila adanya majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin, tamu besar atau ketika menyambut kunjungan orang-orang kenamaan. Kini ia juga menjadi salah satu daya tarikan pelancung asing yang mengunjungi daerah ini.
Tidak ditemui fakta yang jelas berkenaan sejarah tepat kewujudan sukan Sepak Manggis ini dikalangan masyarakat bajau. Hanya cerita turun temurun yang diwarisi dari nenek moyang mengatakan permainan ini ada hubungkait dengan sosiolisasi masyarakat setempat. Yang jelasnya permainan sepak manggis ini amat berkait rapat dengan permainan sepak takraw atau sepak raga dikalangan masyarakat kaum melayu.
Juga tiada fakta yang jelas mengapa sukan ini dinamakan Sepak Manggis. Cuma melalui perbualan dengan tokoh-tokoh lama masyarakat ini mangatakan perkataan Sepak Manggis bermaksud menendang bola tinggi mengenai sasaran membawa semangat yang tinggi masyarakat kaum ini. Seorang tokoh mengatakan perkataan ‘Sepak’ berasal dari perkataan bahasa melayu merujuk kepada permainan sepak raga. Mankala ‘Manggis’ pula sebagai bidalan bakul berhias yang digantung tinggi seperti buah manggis. Manakala isi putih manis manggis diandaikan seperti bahan-bahan di dalam bakul tadi disediakan dengan rasa kegembiraan, keseronokan dan keikhlasan tuan rumah untuk diberikan kepada siapa-siapa sahaja yang berjaya menurunkan bakul tersebut.
Konsep menimang bola rotan dalam kumpulan beberapa orang pemain dalam permainan sepak raga hampir sama dengan corak permainan Sepak Manggis. Bezanya Sepak Manggis ada sasaran tinggi yang hendak dituju. Bagaimanapun ada sumber mengatakan awal kewujudan permainan Sepak Manggis ini ialah menimang bola dalam kumpulan sebelum seorang pemain dikalangan mereka menendang tinggi bola tersebut mengenai sasaran. Dari semasa ke semasa permainan ini dipermudahkan hinggalah ke hari ini kita lihat seorang peserta membuat balingan kearah rakannya kemudian menimang bola tersebut tinggi kearah sasaran.
Bagaimana sukan ini boleh diterima dalam masyarakat bajau? Ada yang mengatakan bahawa bola yang diperbuat daripada anyaman rotan yang mudah diperolihi dan boleh dianyam tersebut menjadi kuncinya. Sosioekonomi masyarakat bajau dalam daerah Kota Belud kebanyakannya hidup sebagai nelayan dan petani. Daripada rotan masyarakat bajau membuat bola raga.
Permainan menimang bola raga ini mudah diaplikasikan oleh masyarakat bajau khasnya dikalangan kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa. Cara permainannya yang mudah tanpa perlu gelanggang atau dewan yang mahal-mahal serta boleh dimainkan dimana-mana sahaja sama ada dihalaman rumah, kawasan padang rumput atau tepi pantai membolehkan permainan ini menjadi pilihan utama masyarakat ini. Masyarakat bajau juga terkenal sebagai nelayan yang mahir. Malahan nelayan juga merupakan sumber ekonomi mereka yang utama selain bertani. Tidak hairanlah jika terdapat anak-anak muda menimang-nimang bola raga ini dikawasan pantai kerana pantai juga merupakan satu lokasi yang amat sesuai untuk memainkan permainan sepak Raga (menimang – nimang bola raga).Sepak raga ini menjadi sukan komuniti masyarakat ini pada setiap petang atau hari-hari lapang mereka. Ada juga mengatakan sepak raga selalu dimainkan oleh anak-anak muda bagi mengisi masa lapang sementara menunggu majlis dimulakan. Lazimnya majlis-majlis perkahwinan atau apa-apa majlis keramaian membuatkan ramai anak-anak muda berkumpul. Tidak mustahil Sepak Manggis ini timbul ekoran budaya anak-anak muda yang suka menimang bola raga sementara menunggu majlis dimulakan. Bertepatan pula Sepak Manggis dewasa ini dimainkan bagi memenuhi ruang masa sebelum tuan rumah memulakan majlis bersanding.
Kini sepak manggis bukan sahaja menjadi satu kemestian kepada masyarakat bajau apabila mengadakan majlis-majlis keramaian, malahan kini sukan ini sudah diterima pakai sebagai salah satu daya tarikan yang baik ke daerah Kota Belud disamping sukan berkudanya. Sepak Manggis satu sukan yang mewakili budaya dan tatacara kehidupan masyarakat bajau, bukan sahaja didaerah Kota Belud malahan beberapa daerah berhampiran seperti Tuaran dan Kota Marudu.